Assalamu allaikum warhmatullahi wabarokatuh
Bismillahir-Rahmanir-Rahim
Saudaraku..."
Sesungguhnya satu makhluk dikuasai oleh satu hakikat.
Apabila sekalian makhluk dikumpulkan dan dilihat sebagai satu kewujudan sahaja ia dipanggil alam.
Hakikat yang menguasai sekalian alam ini dipanggil Hakikat Alam. Manusia merupakan salinan kecil kepada sekalian alam.
Apa sahaja yang ingin dilihat pada alam makhluk boleh dilihat pada manusia.
Manusia boleh dilihat sebagai malaikat, syaitan, haiwan, bumi yang kaku atau langit yang tinggi, atau apa sahaja anasir alam.
Pada manusia ada sifat kebaikan dan juga ada sifat kejahatan, ada
unsur alam bawah yang gelap dan ada unsur alam atas yang terang.
Keunikan ciptaan manusia itu menyebabkan manusia mengenal Tuhan dari
berbagai-bagai aspek, melebihi pengenalan yang ada dengan makhluk yang
lain.
Makhluk lain bergerak dalam sempadan yang ditentukan
untuknya sahaja. Malaikat yang menjaga langit pertama tidak boleh turun
ke dunia dan tidak boleh naik ke langit ke dua melainkan dengan perintah
Tuhan kerana sesuatu sebab.
Malaikat yang menjaga matahari
tidak menggangu urusan bulan. Malaikat yang bertugas memberi rezeki
tidak terlibat dengan urusan mencabut nyawa.
Setiap malaikat
bergerak di dalam sempadannya masing-masing atau di kuasai oleh satu
hakikat sahaja. Manusia dikuasai oleh hakikat-hakikat yang berkumpul
sebagai satu hakikat.
Manusia menguruskan penglihatan,
pendengaran, pergerakan dan lain-lain. Manusia mampu melepasi alam bumi,
Alam Langit dan sampai ke Arasy, seperti yang dibuktikan oleh Nabi
Muhammad s.a.w.
Manusia dalam aspek kerohaniannya boleh menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib dan menerima perkhabaran daripada Loh Mahfuz.
Manusia mempunyai ilmu mengenai semua perkara. Keistimewaan manusia
adalah kerana hakikat yang menguasai sekalian alam itu juga adalah
hakikat yang menguasai manusia.
Bila dipandang hakikat tersebut
sebagai hakikat yang menguasai manusia istilah Hakikat Insan digunakan.
Setiap makhluk akan hanya mempunyai ilmu menurut hakikat yang
menguasainya.
Perkara tersebut diketahui kerana maklumat
mengenainya ada pada hakikat yang menguasainya. Apa yang tidak diketahui
dan tidak mungkin diketahui adalah apa yang tidak termasuk di dalam
sempadan hakikat yang menguasainya itu.
Pada hakikat yang
menguasai lembu tidak ada maklumat tentang 2 + 2 = 4. Mengajar lembu
untuk mempercayai bahawa 2 + 2 = 4 adalah perbuatan yang sia-sia dan
tidak akan berhasil walaupun dicuba sehingga ke hari kiamat.
Pada hakikat yang menguasai manusia ada maklumat tentang matematik,
sains dan teknologi, termasuklah teknologi maklumat yang tercanggih,
astronomi, perubatan, sastera, pertukangan, penternakan, pertanian dan
lain-lain.
Oleh sebab itu manusia boleh diajar mengenai
perkara-perkara tersebut. Fungsi belajar sebenarnya adalah
‘memperingatkan’ manusia tentang apa yang sudah ada dengannya.
Manusia tidak mempelajari perkara baharu kerana semua maklumat sudah pun
dibekalkan kepada kejadian manusia sejak manusia yang pertama
diciptakan.
Dan telah diajarkan kepada Adam sekalian nama-nama…. ( Ayat 31 : Surah al-Baqarah )
Oleh yang demikian percobaan mengajar ilmu walau bagaimana rumit
sekalipun ia boleh berjaya kerana dia hanya perlu ‘celik’ (jeli)
memandang kepada apa yang sudah tertanam pada kejadiannya yang asli.
Hakikat yang menguasai manusia iaitu Hakikat Insan dikenali juga
sebagai Hakikat Adam kerana hakikat ini menguasai kejadian Adam a.s dan
sekalian keturunannya.
Hakikat Insan tidak boleh diketahui dan tidak ada kenyataannya tanpa penciptaan Adam a.s, yang dipanggil juga Bapa Jasad.
Adam a.s adalah penggerak kepada alam badan kebendaan. Pada zaman dan
ruang yang tidak ada Adam a.s, tidak ada anasir yang bergerak pada tubuh
badan. Iblis juga tidak ada.
Pada ketika itu semua kejadian berada dalam suasana rohani yang tidak tahu berbuat durhaka kepada Tuhan.
Apabila Allah s.w.t menciptakan Adam a.s dan meneranginya dengan
hakikat yang menguasai perjalanan sekalian makhluk, yang terkandung
padanya semua bakat dan nilai, maka segala kejadian boleh bergerak pada
jalan menyatakan bakat masing-masing.
Secara automatik muncullah
iblis. Sebelum Adam a.s diciptakan, Azazil yang padanya tersimpan
maklumat mengenai kejahatan tidak berupaya menggunakan bakat tersebut.
Sebaik sahaja Adam a.s diciptakan maklumat mengenai kejahatan yang
terpendam itu sudah boleh menyata dan dengan serta merta Azazil bertukar
menjadi iblis.
Penciptaan Adam a.s membolehkan anasir jahat memakai tubuh badan.
Malaikat yang tidak memerlukan badan kebendaan boleh wujud sebelum
Adam a.s diciptakan. Pada zaman sebelum ada Adam a.s semuanya bertaraf
malaikat, termasuklah Azazil, Bapa Jin.
Semua mereka tidak ada
pilihan melainkan beribadat kepada Tuhan. Dalam keadaan yang demikian
neraka seolah-olah tidak akan mendapat rezeki. Sebaik sahaja Adam a.s
diciptakan keupayaan dan bakat jahat telah mempunyai bekas untuk
menyalurkan kejahatannya. Di sinilah letaknya rahsia syariat.
Tanpa Adam a.s tidak ada kejahatan, maka syariat tidak diperlukan. Bila
syariat tidak zahir hakikat tidak menyata. Semuanya tersembunyi dan
tidak ada yang mengenal Tuhan. Bila syariat zahir baharulah ada makrifat
tentang Tuhan.
Syariat mengandungi kesempurnaan makrifat kerana syariat memperkenalkan Yang Esa melalui dua aspek yang bertentangan.
Syariat memperkenalkan yang kanan melalui kewujudan yang kiri, begitu
juga sebaliknya. Jika tidak ada kiri tidak akan dikenali kanan. Syariat
memperkenalkan cahaya dengan adanya gelap.
Jika tidak ada gelap
tidak akan diketahui apa itu cahaya. Syariat memperkenalkan taat dengan
adanya ingkar. Jika tidak ada ingkar tidak akan diketahui apa itu taat.
Syariat memperkenalkan ibadat dengan adanya maksiat. Jika
tidak ada maksiat tidak akan diketahui apa itu ibadat. Syariat
memperkenalkan pahala dengan adanya dosa.
Jika tidak ada dosa
tidak akan diketahui apa itu pahala. Satu perkara memperkenalkan
lawannya yang satu lagi dan kedua-duanya memperkenalkan penghubung
keduanya. Penghubung tersebut memperkenalkan wujud yang menguasai.
Penciptaan Adam a.s yang dikuasai oleh hakikat yang sempurna
menyebabkan alam menjadi sempurna. Adam a.s adalah pasak alam yang
menstabilkan alam. Tanpa Adam a.s neraka akan bergegar kerana tidak ada
sesiapa yang akan masuk ke dalamnya.
Bila Adam a.s diciptakan
neraka menjadi tenteram kerana ia tahu haknya akan ditunaikan. Tanpa
Adam a.s, hakikat kenabian dan hakikat kewalian tidak akan ada
kenyataan, tidak akan muncul nabi-nabi dan wali-wali ke dunia, maka
tidak ada sesiapa mengenal Tuhan.
Mengalami suasana Hakikat
Insan di dalam Perbendaharaan-Nya yang tersembunyi memakrifatkan hamba
dengan Pentadbiran Tuhan ke atas makhluk-Nya, termasuklah manusia.
Demikianlah sedikit bahasa untuk kali ini yang dapat aku sampaikan
semoga saja ada manfaatnya bagi kita semua Aamiin... Aamiin...Yaa
Robbal’alamiin...”Wassalam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar