Sabtu, 15 Oktober 2016

Catatan Mengenai," Hakikat Asma’ (Nama-Nama Allah s.w.t.)


Assalamu allaikum warhmatullahi wabarokatuh
Bismillahir-Rahmanir-Rahim

Saudaraku..."
Kemana sahaja kamu hadapkan muka kamu di situ Wajah Allah.
( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )

Yaa Allah, ya haqu, ya Ahad ya wahid ya Shomad

Di dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi, ke mana sahaja di halakan pandangan hanya Wajah-Nya yang kelihatan. Wajah-Nya disaksikan sebagai: Laisakamislihi syaiun

Wajah-Nya menyata melalui sifat-sifat dan nama-nama-Nya. Wajah-Nya disaksikan melalui Jamal-Nya dan Jalal-Nya.

Wajah Jamal-Nya menyata melalui nama-nama: ar-Rauf, al-Wadud, al-Halim, al-Karim, al’Afuwwu, al-Ghaffar, al-Mannan, al-Hannan, as-Sobbur, asy-Syakur dan ar-Razak.

Wajah Jalal-Nya menyata melalui Nama-nama: al-Jabbar, al-Muntaqim, al-‘Aziz, al-Muta’al, al-Mutakabbir, al-Muhaimin, al-Jalil, al-‘Adzim, al-Kabir, al-Mu’iz, al-Qabidh dan al-Khafidh.

Nama-nama Tuhan ada yang menunjukkan kepada sifat dan ada yang menunjukkan kepada Zat.
Aspek Zat yang boleh disifatkan dipanggil tasybih dan yang tidak boleh disifatkan dipanggil tanzih.

Kesempurnaan jiwa hamba adalah berada di antara kedua-dua aspek tersebut:
Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya dan Dia Mendengar dan Melihat (Ayat 11 : Surah asy-Syura )
Walaupun Dia tidak serupa dengan sesuatu tetapi Dia adalah Mendengar dan Melihat.

Allah s.w.t menyatukan kedua-dua aspek tersebut pada satu ayat. Bila kedua-dua aspek tersebut menyatu pada jiwa si hamba dia akan merasakan ketenteraman dan kedamaian.

Ada nama-nama-Nya yang kelihatan sebagai berlawanan di antara satu dengan yang lain.
Al-Hayyun menghidupkan dan al-Mumit mematikan. Al-Hadi memberi petunjuk dan al-Muzil menyesatkan. Kelihatan seolah-olah ada perlumbaan di antara nama-nama yang berlawanan sifat.

Maka Muncullah as-Salam yang mensejahterakan sehingga tidak berlaku perlumbaan atau perlawanan. Sekaliannya berada dalam kesejahteraan, mengambil bidang masing-masing tanpa mengganggu bidang yang lain.

Demikianlah percantuman dua perkara yang berbeza dan melahirkan pengenalan yang sebenarnya.
Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir, Dia Yang Zahir dan Dia juga Yang Batin.(Ayat 3 : Surah al-Hadiid)

As-Salam yang mensejahterakan membawa setiap nama kepada ketetapan bidang tugas masing-masing.
Dan bila sekaliannya berada dalam ketetapan as-Samad melingkupi sekaliannya. As-Samad menjadi sempadan bagi satu nama dan juga sempadan bagi sekalian nama-nama.

Kesemua nama-nama dikemudikan oleh al-Wahid, yang memperkenalkan Wahdaniatik, keesaan Tuhan. Al-Wahid memimpin sekalian nama-nama bagi memperkenalkan al-Ahad.

Demikianlah penyaksian terhadap Wahdaniatik Tuhan membawa pengakuan terhadap kedudukan-Nya sebagai al-Malik, Raja yang memerintah dan juga al-Malik-ul-Mulk, Raja kepada segala kerajaan, dan juga Rabbul Arbab, Tuhan yang menguasai sekalian bakat-bakat ketuhanan.

Sehingga kesemuanya menceritakan yang satu iaitu ALLAH! ALLAH adalah nama yang paling agung yang mengandungi dan menyimpulkan sekalian nama-nama yang lain.

ALLAHmenunjukkan terkumpulnya sekalian nama-nama dan ALLAH adalah juga nama bagi Zat.

Saudaraku..."
Sesungguhnya ALLAH menguasai segala sesuatu ( Ayat 20 : Surah al-Baqarah )
ALLAH yang memegang semua kekuasaan menetapkan:

Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia yang menguasai ubun-ubunnya. Dan Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )

Allah s.w.t menetapkan nama-nama-Nya menjadi hakikat-hakikat yang menguasai sekalian kejadian-Nya.
Setiap yang maujud ubun-ubunnya dipegang oleh nama Tuhan dan nama Tuhan yang menjadi hakikat itu mengheret makhluk yang di bawah bidang kekuasaan-Nya pada jalan yang Allah s.w.t telah tentukan.

Tidak ada satu makhluk pun boleh bebas daripada nama Tuhan yang menjadi hakikat yang menguasainya.
Nama al-Hadi membimbing seseorang kepada jalan yang benar. Semua guru-guru merupakan ‘cermin’ tempat zahirnya kesan kekuasaan al-Hadi.

Sesiapa sahaja yang mendapat bimbingan kepada jalan yang lurus dan sesiapa sahaja yang membimbingnya, pada hakikatnya al-Hadi yang memberi bimbingan.

Al-Muzil mempunyai kekuatan untuk menyesatkan dan kekuatan ini terzahir pada makhluk-Nya yang bernama iblis.

Sekalipun kelihatan iblis yang menyesatkan manusia tetapi iblis bukan berdiri dengan sendiri. Iblis tidak mempunyai sebarang kekuasaan.

Melainkan Allah s.w.t mengizinkan iblis menumpang kekuasaan al-Muzil. Oleh kerana iblis menumpang kekuasaan nama Tuhan maka tidak ada kekuasaan makhluk dapat mengalahkannya.
Hanya satu sahaja kekuasaan yang mampu mengatasinya, iaitulah kekuasaan ALLAH yang menguasai segala kekuasaan.

Lantaran itu Dia mengajarkan: Thaudz...
Daku berlindung kepada ALLAH dari syaitan yang direjam
Segala kekuasaan tunduk kepada kekuasaan ALLAH. Allah yang memiliki segala kekuasaan itu menetapkan:

Barangsiapa dibimbing oleh Allah pada jalan yang benar, engkau tidak dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, engkau tidak dapat membimbingnya kepada jalan yang benar. ( Maksud Hadis )

Manusia hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Allah s.w.t. Penyerahan kepada Allah s.w.t merupakan kekuatan maksimal yang tidak terkalahkan oleh kekuatan yang lain.
Oleh kerana nama-nama Tuhan menjadi hakikat yang menguasai segala sesuatu, maka tidak ada makhluk yang dapat mengubah perjalanan hakikat yang menguasainya.

Unta tidak boleh meminta menjadi matahari. Bulan tidak boleh meminta menjadi bumi. Gunung tidak boleh meminta menjadi langit. Malaikat tidak boleh meminta menjadi manusia.

Manusia tidak boleh meminta menjadi Tuhan. Setiap sesuatu dikawal oleh hakikat masing-masing.
Dalam aspek ini setiap kejadian Tuhan tidak mempunyai pilihan.

Mereka adalah hamba yang terikat. Sebagai satu kejadian yang dikawal oleh satu hakikat ia bebas bergerak di dalam sempadan hakikatnya.

Oleh kerana nama Tuhan menjadi hakikat maka makhluk memperolehi bakat-bakat yang berkuasa melahirkan kesan. Hakikat yang menguasai manusia adalah hakikat yang paling lengkap dan sempurna.
Tidak ada yang dapat mengatasi apa yang ada dengan manusia. Keistimewaan hakikat yang menguasai manusia menyebabkan di dalam sempadan kemanusiaan

Manusia bebas melahirkan fikiran, perbuatan, kehendak dan pilihan. Artinya dalam aspek ini manusia adalah hamba yang merdeka.

Hakikat yang menguasai makhluk itulah yang menyebabkan makhluk mendapat nikmat penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan.

Hakikat menjadi pemangkin atau hijab yang mempertahankan apa yang Tuhan ciptakan.
Hubungan wujud makhluk dengan Wujud hakikat adalah perkaitan mumkinul wujud dengan Wajibul Wujud.
Wujud hakikat adalah wujud ketuhanan, wujud pemerintah atau pentadbiran ketuhanan.
Wujud makhluk adalah wujud yang diperintah, wujud yang menumpang, yang bergantung, berhajat dan berharap kepada wujud yang memerintah.

Hakikat bukanlah makhluk. Ia adalah suasana pentadbiran Tuhan. Qadak dan Qadar yang ditentukan Tuhan adalah di dalam sempadan hakikat yang daripada suasana tersebut berlakulah takdir.
Takdir tidak menyimpang daripada hakikat yang menguasainya. Setiap makhluk di heret oleh hakikat yang menguasainya.

Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kenabian akan menjadi nabi. Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kewalian akan menjadi wali. Sesiapa yang berhakikatkan Hakikat Manusia akan menjadi manusia.
Sepertimana dalam firmannya," Tiada perubahan dalam kalimat Allah itu. ( Ayat 64 : Surah Yunus )
Orang yang mengenal dirinya sebenarnya mengenali hakikat yang menguasai dirinya, iaitu suasana ketuhanan yang menguasai kewujudan dan penghidupannya.

Mengetahui hakikat ketuhanan yang menguasai diri tidak menjadikan diri itu Tuhan. Tuhan tetap Tuhan tidak berubah menjadi hamba.

Hakikat ketuhanan adalah pemerintah dan hamba pula adalah makhluk yang diperintah.
Diri tetap berada pada taraf kehambaan walaupun mengenali hakikat ketuhanan.
Diri yang menetap pada kedudukan kehambaan dengan menyerah sepenuhnya kepada pemerintah itulah sebenarnya wali Tuhan.

Wali Tuhan pada peringkat ini menetap pada makam kehambaan dengan menyaksikan Rububiah pada setiap ketika dan dalam segala suasana.

Saudaraku..."
Sesungguhnya satu makhluk dikuasai oleh satu hakikat.
Apabila sekalian makhluk dikumpulkan dan dilihat sebagai satu kewujudan sahaja ia dipanggil alam.
Hakikat yang menguasai sekalian alam ini dipanggil Hakikat Alam. Manusia merupakan salinan kecil kepada sekalian alam.

Apa sahaja yang ingin dilihat pada alam makhluk boleh dilihat pada manusia.
Manusia boleh dilihat sebagai malaikat, syaitan, haiwan, bumi yang kaku atau langit yang tinggi, atau apa sahaja anasir alam.

Pada manusia ada sifat kebaikan dan juga ada sifat kejahatan, ada unsur alam bawah yang gelap dan ada unsur alam atas yang terang.

Keunikan ciptaan manusia itu menyebabkan manusia mengenal Tuhan dari berbagai-bagai aspek, melebihi pengenalan yang ada dengan makhluk yang lain.

Makhluk lain bergerak dalam sempadan yang ditentukan untuknya sahaja. Malaikat yang menjaga langit pertama tidak boleh turun ke dunia dan tidak boleh naik ke langit ke dua melainkan dengan perintah Tuhan kerana sesuatu sebab.

Malaikat yang menjaga matahari tidak menggangu urusan bulan. Malaikat yang bertugas memberi rezeki tidak terlibat dengan urusan mencabut nyawa.

Setiap malaikat bergerak di dalam sempadannya masing-masing atau di kuasai oleh satu hakikat sahaja. Manusia dikuasai oleh hakikat-hakikat yang berkumpul sebagai satu hakikat.

Manusia menguruskan penglihatan, pendengaran, pergerakan dan lain-lain. Manusia mampu melepasi alam bumi, Alam Langit dan sampai ke Arasy, seperti yang dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Manusia dalam aspek kerohaniannya boleh menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib dan menerima perkhabaran daripada Loh Mahfuz.

Manusia mempunyai ilmu mengenai semua perkara. Keistimewaan manusia adalah kerana hakikat yang menguasai sekalian alam itu juga adalah hakikat yang menguasai manusia.

Bila dipandang hakikat tersebut sebagai hakikat yang menguasai manusia istilah Hakikat Insan digunakan. Setiap makhluk akan hanya mempunyai ilmu menurut hakikat yang menguasainya.

Perkara tersebut diketahui kerana maklumat mengenainya ada pada hakikat yang menguasainya. Apa yang tidak diketahui dan tidak mungkin diketahui adalah apa yang tidak termasuk di dalam sempadan hakikat yang menguasainya itu.

Pada hakikat yang menguasai lembu tidak ada maklumat tentang 2 + 2 = 4. Mengajar lembu untuk mempercayai bahawa 2 + 2 = 4 adalah perbuatan yang sia-sia dan tidak akan berhasil walaupun dicuba sehingga ke hari kiamat.

Pada hakikat yang menguasai manusia ada maklumat tentang matematik, sains dan teknologi, termasuklah teknologi maklumat yang tercanggih, astronomi, perubatan, sastera, pertukangan, penternakan, pertanian dan lain-lain.

Oleh sebab itu manusia boleh diajar mengenai perkara-perkara tersebut. Fungsi belajar sebenarnya adalah ‘memperingatkan’ manusia tentang apa yang sudah ada dengannya.

Manusia tidak mempelajari perkara baharu kerana semua maklumat sudah pun dibekalkan kepada kejadian manusia sejak manusia yang pertama diciptakan.

Dan telah diajarkan kepada Adam sekalian nama-nama…. ( Ayat 31 : Surah al-Baqarah )
Oleh yang demikian percobaan mengajar ilmu walau bagaimana rumit sekalipun ia boleh berjaya kerana dia hanya perlu ‘celik’ (jeli) memandang kepada apa yang sudah tertanam pada kejadiannya yang asli.

Hakikat yang menguasai manusia iaitu Hakikat Insan dikenali juga sebagai Hakikat Adam kerana hakikat ini menguasai kejadian Adam a.s dan sekalian keturunannya.

Hakikat Insan tidak boleh diketahui dan tidak ada kenyataannya tanpa penciptaan Adam a.s, yang dipanggil juga Bapa Jasad.

Adam a.s adalah penggerak kepada alam badan kebendaan. Pada zaman dan ruang yang tidak ada Adam a.s, tidak ada anasir yang bergerak pada tubuh badan. Iblis juga tidak ada.
Pada ketika itu semua kejadian berada dalam suasana rohani yang tidak tahu berbuat durhaka kepada Tuhan.

Apabila Allah s.w.t menciptakan Adam a.s dan meneranginya dengan hakikat yang menguasai perjalanan sekalian makhluk, yang terkandung padanya semua bakat dan nilai, maka segala kejadian boleh bergerak pada jalan menyatakan bakat masing-masing.

Secara automatik muncullah iblis. Sebelum Adam a.s diciptakan, Azazil yang padanya tersimpan maklumat mengenai kejahatan tidak berupaya menggunakan bakat tersebut.

Sebaik sahaja Adam a.s diciptakan maklumat mengenai kejahatan yang terpendam itu sudah boleh menyata dan dengan serta merta Azazil bertukar menjadi iblis.

Penciptaan Adam a.s membolehkan anasir jahat memakai tubuh badan.
Malaikat yang tidak memerlukan badan kebendaan boleh wujud sebelum Adam a.s diciptakan. Pada zaman sebelum ada Adam a.s semuanya bertaraf malaikat, termasuklah Azazil, Bapa Jin.

Semua mereka tidak ada pilihan melainkan beribadat kepada Tuhan. Dalam keadaan yang demikian neraka seolah-olah tidak akan mendapat rezeki. Sebaik sahaja Adam a.s diciptakan keupayaan dan bakat jahat telah mempunyai bekas untuk menyalurkan kejahatannya. Di sinilah letaknya rahsia syariat.

Tanpa Adam a.s tidak ada kejahatan, maka syariat tidak diperlukan. Bila syariat tidak zahir hakikat tidak menyata. Semuanya tersembunyi dan tidak ada yang mengenal Tuhan. Bila syariat zahir baharulah ada makrifat tentang Tuhan.

Syariat mengandungi kesempurnaan makrifat kerana syariat memperkenalkan Yang Esa melalui dua aspek yang bertentangan.

Syariat memperkenalkan yang kanan melalui kewujudan yang kiri, begitu juga sebaliknya. Jika tidak ada kiri tidak akan dikenali kanan. Syariat memperkenalkan cahaya dengan adanya gelap.

Jika tidak ada gelap tidak akan diketahui apa itu cahaya. Syariat memperkenalkan taat dengan adanya ingkar. Jika tidak ada ingkar tidak akan diketahui apa itu taat.

Syariat memperkenalkan ibadat dengan adanya maksiat. Jika tidak ada maksiat tidak akan diketahui apa itu ibadat. Syariat memperkenalkan pahala dengan adanya dosa.

Jika tidak ada dosa tidak akan diketahui apa itu pahala. Satu perkara memperkenalkan lawannya yang satu lagi dan kedua-duanya memperkenalkan penghubung keduanya. Penghubung tersebut memperkenalkan wujud yang menguasai.

Penciptaan Adam a.s yang dikuasai oleh hakikat yang sempurna menyebabkan alam menjadi sempurna. Adam a.s adalah pasak alam yang menstabilkan alam. Tanpa Adam a.s neraka akan bergegar kerana tidak ada sesiapa yang akan masuk ke dalamnya.

Bila Adam a.s diciptakan neraka menjadi tenteram kerana ia tahu haknya akan ditunaikan. Tanpa Adam a.s, hakikat kenabian dan hakikat kewalian tidak akan ada kenyataan, tidak akan muncul nabi-nabi dan wali-wali ke dunia, maka tidak ada sesiapa mengenal Tuhan.

Mengalami suasana Hakikat Insan di dalam Perbendaharaan-Nya yang tersembunyi memakrifatkan hamba dengan Pentadbiran Tuhan ke atas makhluk-Nya, termasuklah manusia.

Demikianlah sedikit bahasa untuk kali ini yang dapat aku sampaikan semoga saja ada manfaatnya bagi kita semua Aamiin... Aamiin...Yaa Robbal’alamiin...”Wassalam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar